Mengenai Saya

Foto saya
Kg. Morten, Malacca, Malaysia
Me and Allah knows myself best!!

Nak join bisnes internet? Rujuk di sini....

Ahad, Ogos 31, 2008

Awal Ramadhan yang ditunggu-tunggu.

Alhamdulillah,

Kita masih diberi peluang kesekian kalinya untuk bertemu Ramadhan semula. Suatu bulan yang paling ditunggu2 dan dirindui (ada juga yang sebaliknya). Kerana di dalamnya terdapat rahmat dan nikmat yang tidak terdapat dalam bulan lain. Ramadhan ini juga menjadi titik tolak buat kita untuk mendidik diri menjadi hambaNya yang taat dan soleh.

Petang tadi, saya mendapat jemputan untuk mengikuti rombongan universiti untuk ke tempat pencerapan anak bulan Ramadhan di Pasir Panjang, Perak. Majlis yang di hadiri oleh YAB Menteri Besar Perak, Ir Mohammad Nizar Jamaluddin dan Mufti Perak, S.S Dato' Seri Harussani Zakaria. Boleh tahan ramai juga yang hadir untuk sama-sama melihat anak bulan.

Kami tiba pada pukul 5.30 ptg setelah agak tersesat mencari jalan dan tika itu tahlil ringkas sedang berlangsung. Kebetulan pula saya memang lapar, dan makanan ringan disediakan. Makanan telah tersedia dan perut dah lapar, maka saya utamakan makan dahulu baru turut sama bertahlil. Kemudian, majlis diteruskan dengan tazkirah Ramadhan oleh A.F (Al-Fadhil bukan Akademi Fantasia) Ustaz Hazlin. Dia memang tidak asing bagi kami kerana pernah memberi ceramah semester lepas di Undercroft-Kompleks Chancellor, UTP. Tazkirahnya memang kelakar dan diselitkan dengan bacaan al-quran dan lagu bernada hindustan.

Di antara isi tazkirahnya yang ingin saya kupas adalah dalam bulan Ramadhan ada 3 perkara yang perlu kita beri perhatian :
1) Dzikrullah (mengingati Allah)
Dibulan Ramadhan adalah bulan pesta ibadah dan kita perlu memperbanyakkan solat. Dan hanya di bulan ini adanya solat sunat yang terbanyak iaitu solat tarawikh. Terpulang samada nak lakukan 8 atau 20, namun cuba fikir, jika kita boleh tamak mencari duit, kenapa tidak tamak mencari pahala?

2) Dzikrul quran (membudayakan pembacaan quran)
Lazimnya kita akan cuba untuk menghabiskan 30 juzu' dalam sebulan. Namun sepatutnya tidak perlu berkejar2 sedangkan kita sepatutnya lebih menghayati al-quran itu. Amalkan baca terjemahnya sekali dan hayatinya. Bagi yang tidak boleh membaca pula, memadai menatapnya daripada tak pernah buka kitab suci ini. Ataupun bersama dalam kumpulan tadarrus dan dengar bacaan mereka yang mahir.

3) Dzikrulmaut (mengingati mati)
Dengan rahmat bulan Ramadhan adalah masa yang sesuai untuk lebih mengingati mati agar kita lebih gigih untuk memperbanyakkan amalan. Ingatlah bahawa orang yang bijak adalah orang yang mengingati mati.

Selepas tazkirah, majlis diteruskan dengan taklimat hilal yang akan dilakukan sebentar lagi oleh pegawai juruukur perak (JUPEM). Pukul 7 malam, semua hadirin ke pantai untuk melihat anak bulan awal Ramadhan. Teropong disediakan untuk semua hadirin. Anak bulan akan kelihatan pada pukul 7.24 malam dan terbenam dalam 21 minit pada pukul 7.45 malam. Semua hadirin menunggu pengumuman daripada mufti. Berkali-kali melihat teropong namun akhirnya pengumuman dibuat. Anak bulan tak kelihatan!! Kerana terdapat lapisan awan tebal yang melindungi. Tapi ini tidak bermakna esok tidak puasa, kerana cerapan juga dibuat di tempat lain.

Kita hentikan dahulu tentang cerapan ini. Mari kita berbicara tentang puasa. Ibadah yang leceh bagi kebanyakan orang kerana tidak boleh makan dan minum (tak mati pun). Malah ada yang puasa yangyok, pergi dapur bukak periuk.

Bulan puasa adalah bulan kemerdekaan sebenarnya kerana syaitan dan iblis telah dibelenggu. Namun, berhati-hatilah kerana rakan sejawatnya masih bebas dan inilah yang menyebabkan puasa orang kebanyakan (mungkin anda dan saya termasuk juga) hanya mendapat lapar dan dahaga. Itulah nafsu yang bersarang di hati.

Mungkin kita berpuasa, namun dosa-dosa kecil tidak ditinggalkan. Kita berpuasa, mata masih melakukan maksiat. Kita berpuasa, mulut masih mengumpat. Kita berpuasa, buka puasa bagaikan tak makan setahun. Kita berpuasa, tapi malas usaha (kononnya penat berpuasa). Dan macam-macam lagi dosa kecil yang kita lakukan yang kita mungkin tidak sedar.

Permulaan bulan ini, masjid penuh di malam pertama. Trend yang biasa adalah jemaah akan semakin berkurang hingga akhirnya kita ber'tarawikh' di pasaraya dan pasar malam.

Menjelang raya, kita begitu gembira. Namun, para sahabat di zaman Rasulullah berbeza. Mereka menangisi pemergian Ramadhan. Ini kerana mereka mendapat kemanisan Ramadhan sedangkan kita hanya dapat kemanisan kuih di atas meja saat berbuka puasa.

Banyak lagi yang perlu kita perbetulkan tentang bulan Ramadhan yang mulia ini. Mari kita bermuhasabah dan menyiapkan diri mengharungi Ramadhan supaya kita keluar dari madrasah Ramadhan menjadi hamba yang soleh. Akhir kalam, selamat menyambut awal Ramadhan al-Mubarak. Esok dah start pose, nak sahur nanti.

Wallahu Ta'ala A'lam.

Tiada ulasan: