Mengenai Saya

Foto saya
Kg. Morten, Malacca, Malaysia
Me and Allah knows myself best!!

Nak join bisnes internet? Rujuk di sini....

Khamis, Februari 19, 2009

Pengkomposan - Mari kurangkan sampah (Part 1)

Assalamualaikum,

Pada kali ini, lain angin, lain topik. Saya bawakan topik alam sekitar. Apa relevensi topik ini dengan tujuan blog ini? Sebenarnya, menjaga alam sekitar ini juga adalah sebahagian dari Islam, di mana kita sebagai khalifah hendaklah menjaga alam ini daripada dimusnahkan oleh tangan kita sendiri. Dan saya juga sebagai pelajar jurusan kejuruteraan yang 'specialize' dalam 'industrial environmental engineering' merasa terpanggil untuk menjalankan kerja murni ini dalam bentuk penulisan.

Kebetulan, kumpulan kami diberikan satu tugasan padang (fieldwork) untuk mengkaji sisa buangan di UTP untuk mengesahkan adakah pengkomposan sesuai atau tidak dijalankan di UTP. Apa itu pengkomposan? Baja kompos pernah la dengar.

Untuk memahami tentang pengkomposan, biar saya berikan sedikit asas dan faedah pengkomposan dahulu.

Samada kita sedar atau tidak, kita banyak menghasilkan sisa pepejal setiap hari. Apa yang kita lakukan adalah masukkan sampah ke tong sampah, tunggu hingga penuh dan tunggu lori sampah datang ambil. Itu amalan biasa di Malaysia. Dan, apa yang terjadi kepada sampah itu? Ianya akan diangkut ke tempat pelupusan sampah atau 'landfills'. Antara yang terkenal adalah Bukit Nanas dan Bukit Tagar. Ini juga amalan biasa di Malaysia.

Namun, sedarkah kita bahawa tapak pelupusan sampah tidak akan selamanya dapat menampung sisa yang kita hasilkan. Lambat laun, tapak ini akan penuh dan perlu dibuka tapak lain. Maka, ruang untuk manusia hidup semakin kecil lagi.

Kesedaran yang semakin tinggi terhadap penjagaan alam sekitar telah membuat kita mencari jalan untuk mengatasi masalah ini. Apa jalan yang terbaik? Mengikut 'hierarki' dalam pengurusan sampah, yang tertinggi/terutama adalah pengurangan dari sumber. Ini bermaksud, kita perlu kurangkan buat sampah!! Hmm.. susah? Jadi, kita turun ke bawah. Kemudian, jika nak kurangkan susah, kita 'recycle atau reuse' sampah.

'Recycle' telah banyak dibincangkan dan yang popular adalah 'paper' lama, tin kosong dan botol kosong. Kumpul dan jual. Namun, bagaimana dengan sisa makanan dan sisa laman? (daun-daun kering dan rumput-rumput). Untuk dua sisa ini, kita ada cara yang sesuai iaitu pengkomposan. Cara ini akan menukarkan sisa tersebut kepada bahan yang rupanya seperti tanah yang sangat bermanfaat buat kita iaitu :
1) Sebagai nutrien kepada tanah dan tanaman
2) Boleh dijual (current market RM3-6 sekilogram) atau guna sendiri sekiranya kita mengusahakan kebun kecil di belakang rumah.
3) Membantu kerajaan mengurangkan perbelanjaan untuk menguruskan sisa pepejal (di PJ, DBPJ telah menjimatkan RM40 juta setelah penduduknya mengamalkan pengkomposan di rumah)
4) Sebagai sumber pengajaran kepada anak-anak supaya menyayangi alam sekitar.

Sebenarnya, pengkomposan tidaklah menghapuskan keseluruhan masalah sisa pepejal. Ini kerana, bukan semua sisa harian dapat di kompos. Ada juga yang terpaksa dilupuskan di tapak pelupusan sampah atau 'incinerator' (tempat pembakaran). Sekurang-kurangnya, ianya dapat mengurangkan penghasilan sampah.

Selanjutnya, tentang cara untuk mengkompos, resepi kompos dan sebagainya akan saya sambung di bahagian kedua. InsyaAllah.

Isnin, Februari 02, 2009

Niat Solat : Kenapa susahkan diri

Assalamualaikum,

Islam tidak susah, dan Allah tidak mahu susahkan hambanya. Tetapi, kita pula yang menyusahkan diri sendiri.

Dah banyak orang yang saya jumpa bersusah payah memulakan solatnya. Pernahkah anda jumpa orang yang ketika berniat, dia angkat tangannya untuk takbir, tiba-tiba dia berhenti dan mula niat semula. Berkali-kali seolah-olah niatnya tak pernah jadi atau betul. Ada yang berbunyi (sebab bisikannya kuat, saya boleh dengar disebelah):
"Usolli.. Usolli... Usolli..."
Ada pula yang niat dah lengkap dah, tapi bila takbir je, dia batalkan dan mula balik. Ianya berulang-ulang sehinggalah imam hampir nak rukuk.

Saya pelik, apa yang menyebabkan mereka susah sangat nak pasang niat. Mungkin mereka inginkan kesempurnaan niat itu semasa takbir, kerana dulu kita belajar, masa takbir hati kena niat dengan betul (memang betul). Itu yang susah tu, nak niat dalam hati. Sampai berulang-ulang.

Kemudian, saya tonton salah satu vcd ceramah Ustaz Ismail Kamus tentang solat. Dalam ceramah tersebut, Ustaz Ismail Kamus mengutarakan permasalahan yang sama.

"Orang Melayu ni pelik betul, masa nak angkat niat, Usolli.. Usolli.. Usolli.. tak masuk-masuk pulak niat dia. Kesian.. orang melayu" (lebih kurang katanya)

Menurut ustaz Ismail Kamus tak payah nak ulang-ulangkan niat tu semata-mata nak dapat masuk. Cukup baca niat sekali, takbir sekali dan teruskan solat. Kerana sebelum solat dah niat pun sebenarnya.

Kita datang masjid untuk apa? Untuk solatkan? Nak solat apa? Solat Maghrib ke, Isya' ke? Haa kan dah niat tu. Secara tak sedar kita dah niat dah pun. Malah, kalau kita tak sempat, imam dah tahiyat akhir, sambil sedang menuju ke saf, lafaz niat (kerana lafaz niat itu rukun), sampai terus takbir dan ikut imam. Namun, jika sempat ikut dari awal, lafazkan niat dengan penuh dan tartil dan hayatilah maksudnya dalam takbir untuk mendapat kesempurnaan niat. Jangan nak ngelat.

Oleh itu, kalau sesiapa yang membaca artikel ini mempunyai tabiat ini atau ada kawan yang kita kenal bertabiat seperti ini, ghentikan le. Mengganggu orang sebelah nak khusyuk je. Rasa 'annoyed' pulak saya bila solat sebelah orang yang macam ini. Sekadar penyampaian dan peringatan.

Wallahu Ta'ala A'lam

Ahad, Februari 01, 2009

Bisnes #6 - Dana bantu-membantu

Assalamualaikum,

Mungkin ini bisnes yang terakhir untuk saya share dengan anda. Bisnes jenis antara yang paling banyak mengalir di internet dan masih lagi berterusan berlegaran di laman web pengiklanan seperti iklanpercuma.com. Kata kuncinya adalah dana, bantu-menbantu, sedekah, jariah dan yang seangkatan dengannya.

Nampak macam jujur dan baik namun sebenarnya sistem ini adalah jelmaan semula satu sistem lapuk iaitu surat berantai. Pernah terima? Kakak saya pernah terima. Surat itu mendedahkan testimoni orang yang menyertai rangkaian tersebut kononnya mereka berjaya menyelesaikan hutang dan hidup senang kerana bersedekah dan kemudiannya menyuruh kita untuk bersdekah padanya dan menghantar kepada orang lain pula supaya orang yang menerima akan bersedekah pula pada anda. Konsep bantu-membantu ini telah dikosmetikkan supaya nampak halal dan murni, iaitu dengan meletakkan ayat-ayat al-quran, hadis dan amaran bahawa Allah melihat anda menipu. (Memang pun).

Bagi saya, saya amat tidak setuju dengan sistem ini. Kerana konsep sedekah yang sebenar telah dieksploitasikan. Mereka mendakwa bahawa program mereka halal dan berlandaskan pada keikhlasan, namun basa basi mereka salah dan menyimpang daripada konsep sedekah.

Dua point dalam sedekah :
1) Siapa penerimanya. Sebaiknya adalah kepada golongan fakir yang sebetulnya memerlukan bantuan kewangan. Juga sedekah itu perlulah sampai kepada tujuan yang baik, contohnya, derma tabung gaza-palestin. Dalam sistem ini, penerimanya mungkin sahaja orang yang dah cukup makan pakainya, tapi masih tamakkan harta dan mengharapkan belas ihsan orang lain. Walaupun ada hutang, masih belum bangkrupkan? (Kalau dah bangkrup, boleh minta wang zakat)

2) Konsep ikhlas dalam bersedekah. Walaupun dalam sistem ini ditekankan konsep ikhlas, namun dalam perlaksanaannya tidak menampakkan ciri-ciri keikhlasan. Cuba kita renung balik, orang yang ikhlas bersedekah adalah orang menghulurkan duit tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada si penerima, samada dalam bentuk duit, ataupun penghargaan. Apa yang diharapkan hanyalah, ganjaran pahala daripada Allah dan redhanya. Insyaallah, jika benar-benar ikhlas, Allah akan memberi ganjaran pula kepada kita, dibukakan pintu rezeki.

Jika kita mengharapkan orang lain akan bersedekah kepada kita setelah kita bersedekah pada orang lain, menunjukkan bahawa kita tidak ikhlas sebenarnya. Kerana seolah-olah kita dipaksa untuk bersedekah untuk mendapat ganjaran. Bagaikan kita tidak yakin bahawa Allahlah yang memberi rezeki kepada kita. Andainya tiada siapa yang menyumbang kepada kita, apa hati kita akan berkata. Tepuk dada tanya iman (Itupun kalau masih ada).

Walaupun sekecil mana pun duit yang diperlukan untuk menyumbang, yang kononnya tak membebankan untuk join, namun perasan tak kita, berapa duit yang kita sumbangkan ke tabung masjid ketika solat Jumaat? Samada RM1 atau cuma tolak tabung ke tepi je (peringatan buat diri saya juga). Kalau ada yang masuk RM50 pun orang yang kaya atau berada. Nah, sekarang dapat lihat tak setakat mana keikhlasan kita? Kalau nak masukkan duit dalam tabung masjid pun teragak-agak, inikan pula nak bantu-membantu! Lupakanlah.

Bagi saya konsep takaful yang ada sekarang ini lebih menepati konsep tolong-menolong (kerana takaful itu sendiri bermaksud bantu-membantu). Dalam konsep takaful, kita memasukkan sejumlah wang kedalam dana takaful yang besar. Sekiranya, salah seorang penyumbang menerima kemalangan, maka sebahagian dana tersebut akan diberikan pada si malang tersebut. Secara tidak langsung, penyumbang lain telah membantu si malang tersebut, dan insyaallah mendapat pahala. Sekiranya kita pula yang sakit, dana tersebut akan diberikan kepada kita pula dan secara tak langsung orang lain telah menolong kita. Dan kebanyakan syarikat takaful akan melaburkan sebahagian daripada dana dalam perniagaan yang halal, dan keuntungannya akan dibahagikan kepada semua penyumbang setelah tempoh matang. Dengan ini, semua orang dapat dibantu, si malang dan si nasib baik.

Nah, inilah kekeliruan yang telah dimainkan oleh orang Islam yang menjual agama untuk mendapatkan keuntungan. Menggunakan agama dan ayat al-quran untuk menjadikan rencana mereka halal. Sama-samalah kita fikirkan. Semoga kita dapat berfikir dengan waras.

Wallahu Ta'ala A'lam.

Belukarduit.blogspot.com - Software yang tidak wujud

Assalamualaikum,

Bosan-bosan, saya buka laman web iklanpercuma.com. Hanya ingin melihat bisnes internet (Menipu dan yang tak menipu) yang wujud. Akhirnya saya tertarik dengan satu konsep baru. Apakah itu? Haha...

Buat duit dengan blog. Sebelum itu, ingin saya tegaskan, tak payahlah buka blog tu dulu, baca review saya dulu sebelum tertipu.

Owner mendakwa yang dia ada satu software yang boleh menarik duit semasa pelawat melawat blognya. Kononnya, pelawat akan di cas pada line telefon diorang sepertimana laman web porno berfungsi kerana mereka telah memasang software pada blog mereka yang membolehkan ianya berlaku. Dan diakhirnya, owner meminta bayaran sebanyak RM80 sekiranya inginkan software tersebut.

Apa yang menarik perhatian saya adalah, adakah wujud software sebegini dan bagaimana ianya berfungsi. Siapa yang membuat software sebegini?

Menjadi kelaziman saya, apabila saya ingin mendapatkan kepastian samada ianya scam atau tidak, saya menaipkan nama laman web tersebut dan ditambah dengan perkataan 'scam' (penipu atau yang seangkatan dengannya) di google. Akhirnya, keluar list beberapa forum yang menceritakan tentang sistem yang scam ini. Baguslah, ada testimoni dan hujah untuk membuktikan bahawa sistem itu benar-benar scam. Namun, ada juga yang defend (sebab dia dah terkena).

Mari saya bongkarkan sistem ini:
1) Owner mendakwa bahawa software penarik duit ini telah dipasang pada blognya. Menjadi kehairanan saya, selama saya menggunakan blog ini, habis semua ceruk pelusuk blogger telah saya selongkar, namun tak jumpa cara untuk 'embed'kan external software dalam blog. Yang boleh hanyalah memasukkan google adsense, widgets dan link. Secara ringkasnya, kesemua ini adalah berasaskan website bukannya software. Kalau betullah, macam mana dia buat?

2) Saya buka blog orang lain yang juga mempromosikan bende yang sama (dan yang tukang defend kat forum sebab dia dah tertipu). Bila saya buka, aik, sama je isinya. Ayat yang sama, penerangan yang sama, widget yang sama. Konsep ini sama dengan bisnes yang internet yang saya pernah terkena iaitu, datatyper. Ingatkan jadi typist, tapi rupanya diajarkan kepada kita bagaimana cara dia menipu kita supaya kita menipu org lain. Dan dalam blog2 diorang ni takde isi lain selain daripada penerangan menipu tu je. Ini bukannya fungsi sebenar blog. Senang cerita, blog macam ni adalah blog sampah.

3) Apa sebab dia nak jual software tu? Adakah nak membantu orang lain untuk kaut duit juga. Kalau nak tolong, patutnya bagi free la, sebab nanti pendapatan tu datang daripada syarikat telekomunikasi. Situasi ini mengingatkan saya pada bomoh tarik duit. Kalau bomoh tu terer tarik duit, kenapa tak tarik duit sendiri. Kenapa nak cas orang lain untuk tarikkan duit dia. (Kata bomoh tu, kalau buat kat diri sendiri tak jadi). Lumrah manusia, kalau bende tu membawa keuntungan kepada dia, dia tak nak share (melainkan kena share baru dapat keuntungan, ie MLM, skim piramid). So, bagi saya tak logik la nak jual software ni jika penjualan software itulah keuntungannya bukan aplikasinya.

So, rasanyalah kan, kalau kita beli, apa yang kita dapat? Software, bukan.... Kita akan dapat satu panduan bagaimana untuk menipu orang lain, sepertimana dia menipu kita. Oleh itu, janganlah mudah tertipu dengan sistem yang kononnya canggih, tapi rupanya dah lapuk (bagi saya yang mempunyai pengalaman dalam bidang penipuan internet ini) cuma ditambah kosmetik dan penyedap bahasa untuk memperdaya orang. Bak kata forumer yang saya lawat, duit RM80 tu daripada diberikan pada si lahabau tu, baik sedekah kat masjid. Kaya juga kita (dengan pahala).

Wallahu Taala A'lam.