Mengenai Saya

Foto saya
Kg. Morten, Malacca, Malaysia
Me and Allah knows myself best!!

Nak join bisnes internet? Rujuk di sini....

Isnin, Mei 25, 2009

Keputusan Mahkamah Rayuan Diakui Tepat?

Assalamualaikum,

Saya baru terbaca satu berita di Utusan.com.my hari ini, tentang keputusan Mahkamah Rayuan telah diakui tepat oleh 'seseorang'. Siapa orang itu. Dia adalah Lord Lester, salah seorang ahli Queen's Counsel. Pak Najib begitu berbangga apabila skrip drama Mahkamah Rayuan telah mendapat pengiktirafan daripada seorang yang berperingkat internasional. Seolah-olah pandangan orang putih tu menandakan tiada keraguan dalam keputusan mahkamah tersebut, dan tiada siapa, hatta pakar perundangan Malaysia dapat membantah.

Pak Najib juga membidas kata-kata DSAI bahawa badan kehakiman di negara di ragui ketelusannya. Bagi saya, itu bukan sahaja pandangan beliau, malah pandangan 'Hakim Rakyat'.

Kenapa pandangan Lord Lester begitu diangkat sehingga menjadi titik noktah bagi pertikaian ini. Jangan kita lupa akan sejarah. Siapakah yang menjadi sekutu dan pro kepada British (Lord Lester adalah orang British). UMNO dan Parti Perikatan? Tepat sekali. Jikalau dahulu mereka boleh mandapat sokongan penuh British, manakan tidak sekarang. British pasti tidak akan mengecewakan mereka selagi mana mereka menjalankan misi yang telah diperturunkan kepada Perikatan sebelum mereka berundur daripada Malaya.

Apakah misi tersebut, pertama, meneruskan sistem pentadbiran yang telah mereka corakkan dengan perlembagaan yang direka oleh Reid. Dengan ini, sistem perundangan Islam tidak mendapat ruang yang secukupnya sebagai sistem perundangan yang utama bagi umat Islam. Buktinya, sistem perundangan Islam hanya mendapat tempat dalam Mahkamah Syariah yang biasanya mencakupi hal rumahtangga, harta pusaka dan beberapa perkara kecil lagi. Bagaimana dengan hukum jenayah yang dalilnya terdapat dalam Al-quran dan Al-Hadis?

Misi kedua adalah pemisahan di antara dunia dan agama, ataupun sekularisme. Mungkin sekarang tak nampak sangat fahaman sekularisme seperti di Turki di bawah pemerintahan Mustapha Kamal At-Tartuk, kerana telah di baluti dengan topeng Islam Hadhari. Tapi, sebenarnya penolakan Islam dan hal dunia memang ada. Apabila mereka menghalang kuliah dan ceramah diadakan, malah mendakwa masjid telah dipolitikkan. Ketahuilah, bahawa politik itu juga sebahagian daripada Islam. Saya juga tidak setuju ada orang mendakwa bahawa politik itu kotor dan kumpulan dakwah tidak sepatutnya menyertainya. Bagi saya, politik itu asalnya suci, namun tangan manusialah yang telah mengotorkannya apabila dunia dijadikan matlamat utamanya. dan dengan itu juga saya masih tetap menyokong parti Islam.

Atas dua misi ini, yang telah dijalankan selama 50 tahun, maka British beredar dan meneruskan sokongan kepada mereka. Kalau setakat pandangan penaung kamu, saya pasti rakyat tidak makan. Cuba tanya orang lain selain British, apa pandangan mereka? (selain daripada negara yang menjadi barua British). Saya masih lagi tidak menyukai British dan perundangan yang telah mereka tinggalkan kerana kemerdekaan ini masih tidak sempurna.

Sabtu, Mei 23, 2009

Penanti - Saat yang dinanti

Assalamualaikum,

Semasa saya menulis artikel ini, baru 2 jam berlalu setelah penamaan calon di Penanti. 4 calon akan bertanding, Dr. Mansor dari PKR dan 3 lagi calon Bebas, Aminah Abdullah, bekas ketua wanita PKR Pulau Pinang, Nai-Khan Ari, bekas pemimpin Gerakan yang berbangsa Siam dan orang yang tidak serik dengan kekalahan di Bukit Gantang, Kamarul Ramizu (ke Khairul Romizu) Idris. Pilihanraya kali ini, menyaksikan tiada penyertaan daripada BN, yang telah mengurangkan rencah pilihanraya.

Namun, penyokong PR masih tidak boleh berasa lega kerana masih ada tiga calon Bebas yang tidak kita ketahui maksud mereka. Kita tidak boleh memperlekehkan mereka. Jika kita alpa, peluang mungkin diambil untuk salah seorang daripada mereka untuk menang dan mereka juga bebas untuk memasuki mana-mana parti. Barangkali ada calon bebas yang dipasang oleh BN untuk menutup kehadiran mereka, manalah kita tahu. Walaupun mereka mendakwa tidak berminat untuk bertanding, namun lain pula di Manek Urai. Bagaimanapun, bertandinglah seperti biasa kita bertanding dalam pilihanraya sebelum ini. Cuma kurang sengit.

Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Paksu Will atau Haji Ismail Yaakob di atas pemergian beliau pada pukul 5.50 pagi Jumaat (22 Mei) di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Dikatakan punca kematian adalah sakit jantung. Kematian Paksu Will menandakan satu lagi pilihanraya kecil akan berlangsung di Kelantan. Maka, ahli Pas perlu bersiap sedia untuk melawan bakal calon BN (BN menyatakan kesudian untuk bertanding).

-pola pilihanraya kecil menunjukkan pilihanraya kecil telah berlaku disetiap negeri Pakatan Rakyat, kecuali Selangor (hampir-hampir ada dalam kes Elizabeth Wong)-

Persoalannya, kenapa di Penanti tak mahu lawan, tapi nak lawan pula di Manek Urai. Bukankah Manek Urai itu kubu kuat Pas? Ke takut dituduh pengecut jika Manek Urai juga BN tarik diri. Apakah alasan yang nak dikeluarkan lagi? Namun, yang pasti keputusan ini adalah keputusan Najib secara tergesa-gesa tanpa berbincang pimpinan tertinggi BN dan dibuat ketika beliau berada di Singapura. Dan yang pasti, Pas akan menang dan ini akan menjadi kekalahan kelima buat BN.

Tutup cerita tentang Penanti dan Manek Urai. Kita beralih tentang isu Perak. Akhbar dan rakyat melahirkan kekejutan dengan berita keputusan Mahkamah Rayuan semalam. Saya juga terkejut ketika menonton Astro Awani ketika keputusan Mahkamah diumumkan semalam. Hanya 5 minit diperlukan untuk menetapkan keputusan bersama. Hebat dan 'adil' sungguh hakim ini hingga digelar Hakim Luar Biasa. Hakim tersebut adalah Datuk Md Raus Shariff, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop. Hasil keputusan mereka, maka Zambry Gandhi 'sah' sebagai MB. (Saya, personally masih tidak dapat menerima kesahannya).

Masa yang diambil menimbulkan prasangka bahawa keputusan ini telah direncana terlebih dahulu dan hakim-hakim tersebut memainkan peranan sebagai boneka. Bukan sahaja mereka mengesahkan bahawa Zambry sebagai MB Perak, malah mereka juga mengesahkan bahawa Sultan berkuasa penuh untuk memecat Ir Nizar tanpa perlu usul undi tidak percaya. Ketika diminta hujah bertulis, hakim Md Raus meminta tempoh seminggu untuk menyiapkannya (banyak benda yang boleh dilakukan dalam tempoh seminggu). Akibat daripada keputusan ini, Ir Nizar akan merujuk pula kepada mahkamah yang lebih tinggi, iaitu Mahkamah Persekutuan. Sama-sama la kita tunggu.

Konflik di Perak makin teruk ekoran keputusan Mahkamah Rayuan ini. Daripada turun naik setiap mahkamah, berjumpa dengan banyak hakim, bukankah lebih baik keputusan ini ditentukan oleh 'hakim' yang terbaik? Serahkan pada 'hakim rakyat' untuk tentukan dengan membubarkan DUN. Namun, seperti yang maksudkan dalam post lalu, bahawa BN takut dengan pembubaran DUN. Walaupun mereka dapat mengawal hakim-hakim boneka tersebut, namun mereka telah hilang kawalan terhadap rakyat yang telah diperbodohkan selama 50 tahun.

Cukup disinilah posting saya, Insyaallah kita nantikan perkembangan terbaru dalam dunia politik yang kotor. Hanya satu sahaja yang dapat menyucikannya semula, iaitu Islam. Wallahu Ta'ala A'lam.

Khamis, Mei 21, 2009

Perak oh Perak

Assalamualaikum,

Sudah hampir 4 bulan sejak krisis di Perak berlangsung. Saya yang berada di Perak turut terasa bahangnya kemelut yang melanda pentadbiran Perak. Bermula daripada rampasan kuasa oleh BN, pelantikan Dr Zambry 'Gandhi', Sidang DUN bawah pokok, pelantikan Speaker haram, R Ganesan, kemenangan dalam kes oleh Ir Nizar dan akhirnya keputusan Mahkamah Rayuan. Saya mengikuti isu ini dan banyak bermain di fikiran.

Hari ini, Mahkamah Rayuan akan bersidang. Siapa yang akan menang? Dato Husam Musa meneka si 'Mandela' yang akan menang. Saya tak kisah siapa menang. Yang saya kisahkan adalah ketelusan Mahkamah tersebut. Tanggapan masyarakat terhadap bidang kehakiman telah terhakis semula apabila keputusan Hakim Mahkamah Rayuan meluluskan rayuan En Gandhi untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi. Begitu cepat hingga tak sempat Ir Nizar nak jumpa Sultan.

Hari ni saya nak kupas beberapa perkara tentang krisis di Perak, hasil daripada pemerhatian, pandangan sahabat-sahabat dan pandangan saya sendiri (jangan terima kalau anda tak setuju)

1) Isu derhaka.
Sejak Ir Nizar memohon derhaka kepada Sultan, puak-puak BN seolah-olah berang dan menjadi juara Melayu apabila menuduh Ir Nizar telah derhaka pada Sultan. Istilah derhaka telah dipermainkan dan penjelasan tentang maksud mohon derhaka pun diperjelaskan. Namun, macam mana pun dijelaskan, orang Melayu akan tetap melihat Ir Nizar telah derhaka dan melakukan jenayah paling besar.

Mari kita lihat tentang derhaka dari sudut sejarah. Istilah derhaka diwujudkan ketika zaman kesultanan Melayu Melaka untuk memperkukuhkan kedudukan Sultan. Sebelum kedatangan Islam, Sultan adalah tuhan di bumi, namun bertukar kepada wakil dibumi (ataupun khalifah Allah). Kekuatan Sultan Melaka mula terserlah setelah itu dengan kisah Maharaja Cina yang sakit dan sembuh dengan air basuhan kaki baginda. Kekuatan tersebut bukanlah kekuatan mistik atau kerana darah diraja. Namun kekuatan tersebut adalah kerana tingginya iman dan ketaqwaan baginda, maka Allah telah mengurniakan kehebatan sedemikian rupa. (sultan-sultan melaka dahulu kuat belajar agama, malah Sultan Alaudin mempunyai ilmu tasauf)

Ketika Melaka diserang, Sultan dan pembesar berada dalam keadaan melakukan dosa. Pergolakan berlaku kerana kurangnya iman, dan menjadi salah satu faktor kejatuhan Melaka. Nah, bukankah Islam merupakan faktor kekuatan Sultan atau pemerintah. Sultan juga seorang manusia biasa. Cerita tentang kesucian darah-darah juga direka untuk menaikkan martabat (darah mereka juga merah), namun Islamlah yang sebenarnya menjadi tunjang kekuatan seorang yang bergelar Sultan.

Dalam pemerintahan Khalifah juga, Sultan juga tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan ditegur oleh Ulama'. Dan mereka lebih menghormati ulama' walaupun mereka sebagai ketua empayar, namun ulama' adalah orang yang lebih rapat dengan Allah. Oleh itu, pemerintah yang mempunyai keimanan yang tinggi dan keadilanlah dikatakan pemerintah yang berkuasa.

Bukan niat saya untuk mengkritik Sultan Perak kerana saya juga sayangkan Sultan Perak. Cuma saya lebih sayangkan kebenaran, maka saya tidak tujukan kepada baginda sahaja namun kepada semua orang yang bergelar pemimpin. Mungkin pedas, namun saya terlebih dahulu mohon ampun.

Pemerintah masa kini bukanlah seperti dahulu. Apabila keimanan dan nilai-nilai keadilan sudah terhakis, maka terhakis juga kuasa mereka. Adakah dikira derhaka dan mendapat dosa apabila tidak menepati sesuatu arahan yang tidak adil? Rata-rata rakyat tidak bersetuju dengan rampasan kuasa secara culik-menculik, maka di hati rakyat tidak ada keadilan di situ. Jika mahukan Perak ini, bubarkan DUN dan biarkan rakyat memilih. Kesimpulannya. pemerintah juga manusia biasa, bukan Rasul dan bukan Nabi. Kata-kata mereka boleh dibantah jika tiada keadilan. Sedangkan arahan ibubapa pun boleh ingkari jika bercanggah dengan syara', apatah lagi kata Sultan.

2) Culik dan Rasuah.

Inilah punca krisis di Perak ini. Bermula dengan penculikan dua Adun dan akhirnya mereka isytiharkan keluar parti. Saya bukan nak buktikan kesahihan teori ini, namun perkara seumpama ini pernah berlaku kepada Adun PAS. Kenapa kali ini, mereka tidak menculik Adun PAS sebaliknya menculik Adun Keadilan? Sekali lagi faktor keimanan memainkan peranan. Mereka pernah cuba menculik dan merasuah Adun PAS namun gagal. Berlaku di Kelantan ketika dahulu namun di bawah kepimpinan ulama', Adun PAS yang telah menerima tarbiyah tidak mudah goyah walaupun ditaburkan duit yang mampu menyara 3 keturunan sekalipun. Mereka lebih sayangkan Islam daripada kemewahan dunia.

Oleh itu, BN mengalihkan perhatian mereka kepada Adun keadilan yang lebih mudah dipujuk. Mungkin agak kasar kepada parti rakan, namun inilah kebenaran. Bukan semua orang di dalam Pakatan Rakyat benar-benar berjuang demi keadilan dan kebenaran. Ada juga yang demi kepentingan diri dan populariti (kebanyakannya bekas-bekas UMNO, bukan semua). Maka dapatlah dipancing orang yang rapuh imannya. Dengan itu, BN mendapat majoriti dan claim Perak ini mereka punya. Rakyat menjadi berang dan berlakulah perhimpunan di Kuala Kangsar. (Saya tak dapat masuk dalam, namun saya dapat berada disisi dan melihat apa yang berlaku). Dengan itu lahirlah, Menteri Besar haram menjadikan 2 Menteri Besar, pertama dalam sejarah.

3) Ketakutan BN untuk bubarkan DUN

Kenapa tak dibubarkan saja DUN Perak ini. Bukankah kedua-dua pihak punya peluang yang sama untuk menang. Ya, namun tidak bagi BN. Ini kerana kemaraan rakyat makin menyerlah dengan beberapa episod pilihanraya kecil yang lepas. BN kalah di Kuala Terengganu, Permatang Pauh, dan di dua bukit walaupun mereka dapat 'batang' (oops, lucah sikit). Dan kini Penanti pula yang mereka tak mahu bertanding. Kekalahan hatrick ini memberi signal kepada mereka bahawa mereka tak diterima rakyat lagi. Maka mahukah mereka mengambil risiko untuk bubarkan DUN pula.

Tun Dr. Mahathir juga telah menegaskan bahawa BN tidak mungkin menang di Perak sekiranya DUN dibubarkan. Ia akan menjadi mimpi ngeri buat BN untuk PRU 13. Sekiranya BN kalah di Perak, maka kemungkinan untuk BN hilang kerajaan Malaysia juga tinggi. Kerana itulah, mereka sedaya upaya mengelakkan daripada Nizar membubarkan DUN. Maka alasan untuk tidak membazirkan wang rakyat dan rakyat perlu diutamakan adalah SAMPAH. Rakyat tahu berapa banyak wang rakyat yang telah dibazirkan malah rakyat juga tahu bahawa mereka tak pernah diutamakan, yang diutamakan adalah poket mereka dan kroni mereka sendiri.

Walaupun saya bukan rakyat Perak, namun sebagai rakyat Malaysia, saya juga ingin DUN dibubarkan. Cuba fikirkan secara positif. Jika DUN dibubarkan, BN dapat menghakiskan tuduhan bahawa mereka pengecut dan membuktikan bahawa mereka punya kekuatan. Jika kalah pun, mungkin masih ada lagi peluang di PRU 13. Juga, jika DUN dibubarkan di bawah pemerintahan BN, maka BN akan menjadi temporary government dan boleh memanipulasi jentera kerajaan (walaupun itu akan menambahkan lagi kebencian rakyat). Oleh itu, jangan takut cabaran. Saya kaki wrestling, dan saya teringat akan MVP. Walaupun kerap kali kalah dan dipanggil loser, namun dia tetap mencabar orang hingga akhirnya dia berjaya mengalahkan Big Show dengan bantuan Triple H. Sejak itu, dia selalu menang.

Mungkin setakat ini saja kupasan saya. Jika ada yang tidak betul, maka saya mohon diperbetulkan. Jika ada yang menikam kalbu, saya mohon maaf. Saya menulis kerana inginkan kebenaran dan meluahkan rasa di hati ini. Akhir kalam, Hidup Islam. Wallahu Ta'ala A'lam

Rabu, Mei 20, 2009

Pengkomposan - Mari Kurangkan Sampah (Part 2)

Saya sambung lagi tentang pengkomposan. Saya dah janji dan saya perlu tepati. Maaf la lambat sikit.

Basic tentang pengkomposan;
Ia adalah proses penguraian bahan organik dengan bantuan mikroorganisma (atau bakteria) kepada bahan yang menyerupai humus (baja organik). Sebenarnya proses ini bukanlah baru, kerana ia sentiasa berlaku di persekitaran kita secara semulajadi. Cuma kini, manusia mengkomersialkan dan mempercepatkan proses ini untuk mendapatkan keuntungan.

Anda buang sisa makanan anda ke tanah/lubang dan biarkan. Apa yang terjadi? Makanan tersebut akan mereput dan hilang, bercampur dengan tanah. Hasilnya, tanah tersebut menjadi subur. Inilah basic kepada pengkomposan, teknik yang tidak susah untuk difahami, hatta kanak2 juga boleh mengamalkannya.

Untuk mengkomersialkannya, dua perkara perlu dipertimbangkan; kualiti dan masa. Jika kedua-dua ini dapat dioptimumkan, maka produktiviti juga meningkatkan. Namun, untuk memanipulasikan dua perkara ini, kita perlu tahu apa faktor yang mempengaruhinya:
1) Mikroorganisma
Penting tapi tak perlu dimanipulasikan. Ini kerana bakteria terdapat dimana-mana. Cuma perlu tambah sedikit tanah atau najis haiwan. Namun berbeza jika kita menggunakan makroorganisma seperti cacing tanah. Pemilihan cacing tanah yang betul akan menghasilkan hasil yang berkualiti tinggi.

2) Suhu
Juga tak perlu dikawal kerana tiga jenis bakteria bekerja pada julat suhu yang berbeza (Psychrophiles - 0-15C, Mesophiles - 15-40C dan Thermophiles - 40-70C). Namun, suhu dikawal dalam teknik kompos yang menggunakan reaktor.

3) Makanan
Ini antara resepi yang penting dalam pengkomposan. Ini kerana, apa yang anda masukkan atau 'feed' kepada organisma akan menentukan kualiti baja kompos. Namun, ada juga bahan yang tidak sesuai untuk dikompos seperti:
- tulang - lambat reput
- bahan-bahan yang dicemari dengan bahan toksik
- najis haiwan peliharaan atau manusia kerana mengandungi pathogen yang berbahaya.
- tumbuhan yang berpenyakit - kerana penyakit tersebut akan berjangkit juga kepada tumbuhan yang menggunakan baja yang terhasil.

Adunan makanan tersebut juga perlu dimanipulasikan dengan faktor C/N ratio atau nisbah karbon dan nitrogen (kalau tak paham, tanya guru sains anda). Nilai optimum untuk mengdapatkan baja berkualiti tinggi adalah 25. Namun, jika anda ingin lakukan di rumah, tak perlu beli analyzer yang mahal semata-mata ingin mengira kadar C/N ratio bagi sisa pepejal anda. Cukup dengan beberapa andaian:

- Sisa makanan mengandungi C/N ratio yang agak rendah, sekitar 70-100.
- Rumput hijau mengandungi banyak nitrogen, oleh itu C/N rationya rendah.
- Daun kering mempunyai banyak karbon, oleh itu C/N rationya tinggi.

Anda juga boleh google untuk mendapatkan andaian C/N ratio bagi beberapa jenis sisa yang lain.

4) Udara/Oksigen
Bakteria ini memerlukan oksigen untuk bekerja. Oleh itu, bekalan yang secukupnya diperlukan. Jika kekurangan, proses yang asalnya aerobic akan bertukar kepada anaerobic dan ini akan menghasilkan bau yang kurang menyenangkan.

Jika disektor komersial, pam dan paip digunakan untuk membekalkan udara atau mesin penggaul yang dipasang pada traktor digunakan. Namun, untuk dirumah, hanya cukup dengan menggaul dengan cangkul atau alatan lain.

Inilah faktor2 atau resepi yang mempengaruhi hasil pengkomposan kita. Jadi, bagaimana jika anda ingin melakukannya dirumah? Perlukah modal yang banyak untuk membeli alat-alat yang canggih. Susahkah hingga perlu mengupah orang? Jawapannya; tidak, tidak dan tidak.

Saya akan ajarkan cara mudah untuk anda lakukan dirumah.
1) Cara mudah
Samada menggunakan bekas dawai atau gali lubang, anda hanya perlu masukkan sisa-sisa makanan, campurkan dengan daun hijau dan daun kering, gaulkan dan siram dengan sedikit air (oh lupa, air juga resepi untuk pengkomposan). Biarkan. Seminggu sekali perlu digaul untuk membekalkan udara. Baja kompos akan siap dalam 2-3 bulan.

2) Baja terus untuk tumbuhan.
Anda suka tanam bunga? Sebelum anda tanam bunga tersebut, gali lubang dan masukkan sisa-sisa tersebut dan kambus. Tanam bunga di tempat tersebut setelah baja tersebut dijangka terhasil.

3) Tong kompos
Anda boleh tukar atau ubah suai sedikit tong sampah atau apa-apa bekas yang tak digunakan lagi untuk dijadikan tong kompos. Gunakan kreativiti anda supaya tong tersebut boleh diputarkan dari masa ke semasa supaya bahan-bahan tersebut dapat digaul.

Untuk projek pengkomposan ini berjaya, pengasingan dari awal adalah amat penting. Jangan campurkan sisa makanan dengan plastik, kertas dan bahan-bahan yang tidak sesuai dengan pengkomposan. Mungkin perlu adalah disetiap rumah, tiga jenis tong. Tong 1 = tong kompos, tong 2 = untuk kertas dan tin dan tong 3 = untuk plastik. Dengan ini, bukan sahaja kita boleh mengurangkan penghasilan sisa pepejal, malah kita juga boleh dapat untung dengan baja free, jual kertas, tin, plastik dan kaca untuk recycle.

Akhir kalam, bersama-sama kita manfaatkan apa yang telah saya sampaikan dalam usaha untuk menjaga alam persekitaran ini. Ingatlah, menjaga alam sekitar bukan hanya sekadar satu moral, anda juga diberi pahala kerana menjalankan amanah untuk menjaga dan mentadbir alam ini, dan mengelakkan kerosakan. Wallahu Ta'ala A'lam