Mengenai Saya

Foto saya
Kg. Morten, Malacca, Malaysia
Me and Allah knows myself best!!

Nak join bisnes internet? Rujuk di sini....

Khamis, Mei 21, 2009

Perak oh Perak

Assalamualaikum,

Sudah hampir 4 bulan sejak krisis di Perak berlangsung. Saya yang berada di Perak turut terasa bahangnya kemelut yang melanda pentadbiran Perak. Bermula daripada rampasan kuasa oleh BN, pelantikan Dr Zambry 'Gandhi', Sidang DUN bawah pokok, pelantikan Speaker haram, R Ganesan, kemenangan dalam kes oleh Ir Nizar dan akhirnya keputusan Mahkamah Rayuan. Saya mengikuti isu ini dan banyak bermain di fikiran.

Hari ini, Mahkamah Rayuan akan bersidang. Siapa yang akan menang? Dato Husam Musa meneka si 'Mandela' yang akan menang. Saya tak kisah siapa menang. Yang saya kisahkan adalah ketelusan Mahkamah tersebut. Tanggapan masyarakat terhadap bidang kehakiman telah terhakis semula apabila keputusan Hakim Mahkamah Rayuan meluluskan rayuan En Gandhi untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi. Begitu cepat hingga tak sempat Ir Nizar nak jumpa Sultan.

Hari ni saya nak kupas beberapa perkara tentang krisis di Perak, hasil daripada pemerhatian, pandangan sahabat-sahabat dan pandangan saya sendiri (jangan terima kalau anda tak setuju)

1) Isu derhaka.
Sejak Ir Nizar memohon derhaka kepada Sultan, puak-puak BN seolah-olah berang dan menjadi juara Melayu apabila menuduh Ir Nizar telah derhaka pada Sultan. Istilah derhaka telah dipermainkan dan penjelasan tentang maksud mohon derhaka pun diperjelaskan. Namun, macam mana pun dijelaskan, orang Melayu akan tetap melihat Ir Nizar telah derhaka dan melakukan jenayah paling besar.

Mari kita lihat tentang derhaka dari sudut sejarah. Istilah derhaka diwujudkan ketika zaman kesultanan Melayu Melaka untuk memperkukuhkan kedudukan Sultan. Sebelum kedatangan Islam, Sultan adalah tuhan di bumi, namun bertukar kepada wakil dibumi (ataupun khalifah Allah). Kekuatan Sultan Melaka mula terserlah setelah itu dengan kisah Maharaja Cina yang sakit dan sembuh dengan air basuhan kaki baginda. Kekuatan tersebut bukanlah kekuatan mistik atau kerana darah diraja. Namun kekuatan tersebut adalah kerana tingginya iman dan ketaqwaan baginda, maka Allah telah mengurniakan kehebatan sedemikian rupa. (sultan-sultan melaka dahulu kuat belajar agama, malah Sultan Alaudin mempunyai ilmu tasauf)

Ketika Melaka diserang, Sultan dan pembesar berada dalam keadaan melakukan dosa. Pergolakan berlaku kerana kurangnya iman, dan menjadi salah satu faktor kejatuhan Melaka. Nah, bukankah Islam merupakan faktor kekuatan Sultan atau pemerintah. Sultan juga seorang manusia biasa. Cerita tentang kesucian darah-darah juga direka untuk menaikkan martabat (darah mereka juga merah), namun Islamlah yang sebenarnya menjadi tunjang kekuatan seorang yang bergelar Sultan.

Dalam pemerintahan Khalifah juga, Sultan juga tidak lepas daripada melakukan kesalahan dan ditegur oleh Ulama'. Dan mereka lebih menghormati ulama' walaupun mereka sebagai ketua empayar, namun ulama' adalah orang yang lebih rapat dengan Allah. Oleh itu, pemerintah yang mempunyai keimanan yang tinggi dan keadilanlah dikatakan pemerintah yang berkuasa.

Bukan niat saya untuk mengkritik Sultan Perak kerana saya juga sayangkan Sultan Perak. Cuma saya lebih sayangkan kebenaran, maka saya tidak tujukan kepada baginda sahaja namun kepada semua orang yang bergelar pemimpin. Mungkin pedas, namun saya terlebih dahulu mohon ampun.

Pemerintah masa kini bukanlah seperti dahulu. Apabila keimanan dan nilai-nilai keadilan sudah terhakis, maka terhakis juga kuasa mereka. Adakah dikira derhaka dan mendapat dosa apabila tidak menepati sesuatu arahan yang tidak adil? Rata-rata rakyat tidak bersetuju dengan rampasan kuasa secara culik-menculik, maka di hati rakyat tidak ada keadilan di situ. Jika mahukan Perak ini, bubarkan DUN dan biarkan rakyat memilih. Kesimpulannya. pemerintah juga manusia biasa, bukan Rasul dan bukan Nabi. Kata-kata mereka boleh dibantah jika tiada keadilan. Sedangkan arahan ibubapa pun boleh ingkari jika bercanggah dengan syara', apatah lagi kata Sultan.

2) Culik dan Rasuah.

Inilah punca krisis di Perak ini. Bermula dengan penculikan dua Adun dan akhirnya mereka isytiharkan keluar parti. Saya bukan nak buktikan kesahihan teori ini, namun perkara seumpama ini pernah berlaku kepada Adun PAS. Kenapa kali ini, mereka tidak menculik Adun PAS sebaliknya menculik Adun Keadilan? Sekali lagi faktor keimanan memainkan peranan. Mereka pernah cuba menculik dan merasuah Adun PAS namun gagal. Berlaku di Kelantan ketika dahulu namun di bawah kepimpinan ulama', Adun PAS yang telah menerima tarbiyah tidak mudah goyah walaupun ditaburkan duit yang mampu menyara 3 keturunan sekalipun. Mereka lebih sayangkan Islam daripada kemewahan dunia.

Oleh itu, BN mengalihkan perhatian mereka kepada Adun keadilan yang lebih mudah dipujuk. Mungkin agak kasar kepada parti rakan, namun inilah kebenaran. Bukan semua orang di dalam Pakatan Rakyat benar-benar berjuang demi keadilan dan kebenaran. Ada juga yang demi kepentingan diri dan populariti (kebanyakannya bekas-bekas UMNO, bukan semua). Maka dapatlah dipancing orang yang rapuh imannya. Dengan itu, BN mendapat majoriti dan claim Perak ini mereka punya. Rakyat menjadi berang dan berlakulah perhimpunan di Kuala Kangsar. (Saya tak dapat masuk dalam, namun saya dapat berada disisi dan melihat apa yang berlaku). Dengan itu lahirlah, Menteri Besar haram menjadikan 2 Menteri Besar, pertama dalam sejarah.

3) Ketakutan BN untuk bubarkan DUN

Kenapa tak dibubarkan saja DUN Perak ini. Bukankah kedua-dua pihak punya peluang yang sama untuk menang. Ya, namun tidak bagi BN. Ini kerana kemaraan rakyat makin menyerlah dengan beberapa episod pilihanraya kecil yang lepas. BN kalah di Kuala Terengganu, Permatang Pauh, dan di dua bukit walaupun mereka dapat 'batang' (oops, lucah sikit). Dan kini Penanti pula yang mereka tak mahu bertanding. Kekalahan hatrick ini memberi signal kepada mereka bahawa mereka tak diterima rakyat lagi. Maka mahukah mereka mengambil risiko untuk bubarkan DUN pula.

Tun Dr. Mahathir juga telah menegaskan bahawa BN tidak mungkin menang di Perak sekiranya DUN dibubarkan. Ia akan menjadi mimpi ngeri buat BN untuk PRU 13. Sekiranya BN kalah di Perak, maka kemungkinan untuk BN hilang kerajaan Malaysia juga tinggi. Kerana itulah, mereka sedaya upaya mengelakkan daripada Nizar membubarkan DUN. Maka alasan untuk tidak membazirkan wang rakyat dan rakyat perlu diutamakan adalah SAMPAH. Rakyat tahu berapa banyak wang rakyat yang telah dibazirkan malah rakyat juga tahu bahawa mereka tak pernah diutamakan, yang diutamakan adalah poket mereka dan kroni mereka sendiri.

Walaupun saya bukan rakyat Perak, namun sebagai rakyat Malaysia, saya juga ingin DUN dibubarkan. Cuba fikirkan secara positif. Jika DUN dibubarkan, BN dapat menghakiskan tuduhan bahawa mereka pengecut dan membuktikan bahawa mereka punya kekuatan. Jika kalah pun, mungkin masih ada lagi peluang di PRU 13. Juga, jika DUN dibubarkan di bawah pemerintahan BN, maka BN akan menjadi temporary government dan boleh memanipulasi jentera kerajaan (walaupun itu akan menambahkan lagi kebencian rakyat). Oleh itu, jangan takut cabaran. Saya kaki wrestling, dan saya teringat akan MVP. Walaupun kerap kali kalah dan dipanggil loser, namun dia tetap mencabar orang hingga akhirnya dia berjaya mengalahkan Big Show dengan bantuan Triple H. Sejak itu, dia selalu menang.

Mungkin setakat ini saja kupasan saya. Jika ada yang tidak betul, maka saya mohon diperbetulkan. Jika ada yang menikam kalbu, saya mohon maaf. Saya menulis kerana inginkan kebenaran dan meluahkan rasa di hati ini. Akhir kalam, Hidup Islam. Wallahu Ta'ala A'lam

Tiada ulasan: